Baru semalam kami berada di puncak tertinggi di Asia Tenggara, iaitu Gunung Kinabalu. Masih jelas di memori mendaki seawal 2.30 pagi dari Laban Rata, ketika ramai yang lena diulit mimpi. Seterusnya, menuruni cerun curam di sepanjang laluan dan menamatkan perjalanan penuh adventur itu di sebelah petangnya. Selepas itu kami menaiki van sejauh 80 kilometer ke Kota Kinabalu.
Keesokan harinya, ketika sengal badan dan lenguh kaki masih terasa, kami meninggalkan Kota Kinabalu untuk menyahut cabaran yang lain pula. Walaupun masih keletihan, kami tetap berhasrat untuk berakit di arus deras di Sungai Padas. Padas, sungai tersohor di Sabah dengan arus deras dan gelombang bergulung, yang sentiasa menggamit kedatangan pencinta aktiviti ekstrem whitewater rafting.
Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Beaufort yang jaraknya 90 kilometer itu mengambil masa kira-kira 2 jam. Beaufort merupakan sebuah pekan kecil di pedalaman Sabah. Van yang kami naiki kemudiannya berhenti di stesen keretapi Beaufort yang beroperasi sejak 1905. Keadaan stesen pada pagi itu boleh dikatakan penuh sesak. Ramai pelancung asing juga kelihatan mundar-mandir menunggu ketibaan keretapi.
Saya memanjat masuk ke dalam kepala keretapi yang berhenti di tengah landasan. Jentera buatan Jepun itu digerakkan dengan kuasa diesel. Panel mengemudinya tampak ringkas. Sisa-sisa sifat keanak-anakan yang masih bermastautin di sanubari meronta-ronta menyuruh saya menggerakkan jentera tersebut. Tetapi itu hanya ilusi yang tidak harus direalisasi.
Pukul 10.00 pagi, keretapi yang kami tunggu-tunggu berhenti di hadapan stesen. Berpusu-pusu khalayak dan kami memasuki gerabak. Gerabak yang kami datangi penuh sesak. Maka ramailah yang terpaksa jadi kelawar, berdiri sambil bergayut pada palang besi di siling gerabak. Keadaan gerabak agak usang tetapi ia menjadi nadi utama pengangkutan di sebelah pedalaman Sabah.
Keretapi yang diselenggarakan oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah itu menghubungkan Beaufort dengan Tenom yang jaraknya 49 kilometer. Namun begitu, kami akan berhenti di pertengahan jalan di stesen Pangi, di mana pengembaraan air itu dijangka bermula. Landasan keretapi yang kami jelajahi dibina berhampiran tebing Sungai Padas. Cuaca panas dengan langit biru mencantikkan lagi suasana.
Kami menempuh kawasan perkampungan yang terletak jauh di pedalaman. Pemandangan bukit curam di seberang Sungai Padas yang airnya berwarna teh tarik menjadi santapan mata. Terlintas di fikiran, mampukah saya berhadapan dengan arus deras dengan gelombang menggulung sungai? Tetapi, sifat ingin tahu dan mencuba perkara baru menguburi perasaan takut yang menghantui diri.
Kebun penduduk setempat yang menghijau juga menghiasi kiri dan kanan landasan. Walaupun tempat duduk gerabak keretapi kurang selesa namun pengalaman berada di tempat baru dengan pemandangan yang ditatap melalui tingkap yang terbuka tetap menghiburkan. Keretapi yang kami naiki berhenti di stesen-stesen Saliwangan, Halogilat dan Rayoh.
Lamunan saya terhenti di stesen Rayoh. Kami berhenti sebentar di stesen itu untuk menukar pakaian. Barang-barang yang tidak dikehendaki dan yang berharga, ditinggalkan di dalam almari berkunci. Keretapi kemudiannya meneruskan perjalanan sebelum berhenti di stesen Pangi yang jaraknya hampir 40 kilometer dari Beaufort. Kami pun turun dan keretapi meneruskan perjalanan ke stesen Tenom pula.
Sesampainya kami di stesen Pangi, kami diminta berkumpul untuk taklimat. Air mineral dan buah tembikai segar potong diagih-agihkan kepada peserta. Taklimat banyak berkisar tentang keselamatan, faktor penting yang dititik-beratkan dalam mana-mana sukan ekstrem seperti berakit di arus deras (white rafting), terjun bungee dan mendaki tebing batu.
Pencinta aktiviti berakit di arus deras menkategorikan sungai mengikut gred tertentu. Penggredan merujuk kepada setiap jeram secara individu dan bukannya keseluruhan sungai. Sungai Padas diberi skel Gred 3 hingga 4 berdasarkan Penggredan Antarabangsa yang diukur dari Gred 1 hingga 6. Manakala di Amerika pula, skelnya berbeda di mana poin yang digunapakai adalah dari Gred 1 hingga 10.
Gred 3 merujuk kepada jeram yang berombak setinggi 1 hingga 3 meter, pusaran airnya kuat dan kehadiran batu yang terdedah. Gred 4 pula adalah jeram yang sukar ditempuhi, gelombang yang tidak seragam dan sukar dijangka serta memerlukan kemahiran untuk ditempuhi. Namun begitu, penggredan adalah bersifat subjektif kerana kuasa alam mampu merobah keadaan sungai.
Taklimat itu penuh unsur ceria dan humor. Menurut river guide, sekirannya kami terjatuh ke dalam air, tali keselamatan akan dicampakkan kepada kami. Kami perlu memegang tali tersebut dan jangan cuba-cuba membelitnya pada mana-mana anggota badan. Secara berseloroh, river guide menerangkan yang tali keselamatan akan bertukar kepada tali gantung sekiranya terbelit di leher!
Kami juga dimaklumkan tentang kaedah memakai jaket keselamatan yang betul untuk membantu tubuh terapung di dalam air serta topi keledar untuk melindungi kepala. Taklimat juga berkisar mengenai teknik mendayung yang berkesan yang banyak dipengaruhi oleh kerja berpasukan. River guide menyentuh posisi peserta di dalam rakit getah yang direkabentuk khusus untuk sukan ekstrem itu.
River guide, sambil tersenyum, memohon jasa baik kami menggunakan pendayung untuk mendayung dan bukannya memukul peserta lain! Kami kemudiannya mengorak langkah menuju ke tebing Sungai Padas sebaik sahaja sesi taklimat berakhir. Selepas itu, kami sama-sama menaiki rakit getah yang sedia berlabuh menunggu kami untuk memulakan pengembaraan di arus deras.
Walaupun saban tahun saya mengunjungi Sabah, tumpuan saya hanya kepada mendaki Gunung Kinabalu, ikon negeri di bawah bayu, dan Gunung Trusmadi. Buat julung kalinya, saya mencuba berakit di arus deras pula. Berakit arus deras dikatakan bermula di Salida, Colorado di Amerika Syarikat. Sukan ekstrem yang dipelopori oleh Bill Dvorak itu popular sejak pertengahan 1980an lagi.
Rakit yang kami naiki seramai 8 orang itu bergerak perlahan pada awalnya mengikut rentak sungai yang mengilir. Kelajuan kemudiannya meningkat dan kami mula menempuh jeram pertama. River guide berteriak meminta kami mendayung laju untuk melepasi gelombang yang menghayunkan rakit kami ke kiri dan ke kanan. Kami juga dilambung dan dihempas keras, membimbangkan tetapi mengujakan.
Kami berasa seronok selepas melepasi halangan pertama. Keseronokan disusuli dengan sorakan kejayaan. Pendayung diangkat serentak dan kemudiannya dipukul di permukaan air sungai sebagai simbol kejayaan mengatasi halangan. Walaupun demikian, jeram itu adalah mudah. Masih banyak lagi cabaran yang menunggu kami di hadapan.
Tiba-tiba saya terasa seperti ditolak dan serentak dengan itu saya jatuh terjerumus ke dalam air. Rupa-rupanya river guide menolak kami semua dan itu juga adalah satu lagi ritual untuk pengembaraan air kami. Kesejukan air sungai mencengkam tubuh tetapi menyegarkan. Apa yang pasti, kaki saya tidak tercecah dasar sungai kerana kedalamannya. Nasib baik jaket keselamatan melekat di tubuh.
Kemudian, seorang demi seorang cuba masuk semula ke dalam rakit. Ia sungguh sukar, dan, tanpa bantuan river guide dan rakan-rakan lain, kami tidak mampu berbuat demikian. Dalam taklimat yang diberi, kami hanya perlu memegang erat tali di sekeliling rakit. Seterusnya melonjak ke hadapan dengan kuat untuk masuk semula. Secara toerinya ia mudah tetapi secara praktikalnya ia mustahil kami sempurnakan.
Kami terus berlayar di tengah-tengah Sungai Padas yang panjangnya dianggarkan 200 kilometer. Cerun bukitnya hampir-hampir gondol dari sebarang pokok kayu yang tinggi kerana aktiviti pembalakan yang dijalankan puluhan tahun lampau. Ia meninggalkan kesan yang kurang enak mata memandang. Pembalakan juga memberi kesan kepada kualiti air sungai yang kami harungi, warnanya persis teh tarik.
Kami kemudiannya terjun semula ke dalam sungai selepas melepasi jeram yang lain. Kami diminta berenang dan berkumpul di tebing. Agak sukar juga berbuat demikian dalam arus deras yang sering menarik kami ke tengah. Mana-mana peserta yang gagal dan dihanyutkan arus, terpaksa ‘diselamatkan’ oleh river guide. Kami berehat sebentar sebelum menyambung pengembaraan penuh cabaran itu.
Masa tidak meruntuhkan keseronokan dan keujaan yang kami rasakan. Ada ketikanya, kami hampir-hampir sahaja kecundang oleh gelombang ganas yang menguasai rakit yang kami kendalikan. Gelombang ganas itu menyebabkan rakit kami berpusing dan mengiring melepasi 45 darjah. Keadaan itu amat mencemaskan terutamanya ketika hampir sahaja kami ditelan gelombang yang menggunung.
Kami juga terpaksa bekerja keras melepasi pusaran air di beberapa jeram di sepanjang perjalanan. Kami dilambung dan dihempas ombak yang amat kuat. Di kiri dan di kanan, di atas dan di bawah, tidak ada apa-apa lagi yang kelihatan. Yang ada, cuma air dan air. Seolah-olah tiada apa-apa lagi yang ujud di dunia ini melainkan air, yang bergulung-gulung di sekeliling, menghalang pandangan.
Kecut perut kami dibuatnya. Pucat lesi muka menahan ketakutan yang amat sangat. Terfikir juga dek kami, mampukah rakit getah ini menahan arus deras dan gelombang yang menggunung? Tidakkah nanti batu-batu sungai yang licin dan tajam, yang banyak menanti di jeram-jeram yang kami tempuhi merobek dan menenggelamkan rakit getah yang kami naiki?
Setiap kali melepasi ujian di jeram, setiap kali itulah kami bersorak tanda kejayaan. Pendayung diangkat serentak. Pendayung dipukul ke permukaan air, terasa begitu mengujakan. Kami juga menghampiri kumpulan yang berdayung di rakit lain. Setelah agak rapat dengan mereka, kami bertindak bagai anak-anak yang nakal. Kami menyimbah air ke arah mereka menggunakan pendayung di tangan.
Ramai juga pelancong asing yang menyertai acara penuh lencun itu. Ada yang datang semata-mata untuk merasai pengalaman penuh mencabar mengemudi rakit getah di tengah-tengah gelombang sungai yang mengalir di pedalaman dan selatan Sabah. Ramai yang datang dari Eropah, seperti Great Britain, Jerman dan Itali. Tidak kurang juga pengunjung dari Amerika, Korea dan Jepun.
Langit cerah berawan mengiringi perlayaran kami. Keperitan oleh sengatan sang suria pada kulit yang tersedah tidak terasa. Telah lama kami basah kuyup oleh percikan air dan terjunan ke dalam sungai. Jeram di sebelah Sungai Padas diberikan nama-nama menarik dan terdapat 7 kesemuanya. Jeram-jeram itu dikenali sebagai Merry-Go-Round, Break-Point, Lambada, Curve, Cobra, Head-Hunter dan akhir sekali, Scooby Doo.
Menurut yang empunya cerita, Jeram Scooby Doo mempunyai latar belakang yang menarik. Seekor anjing telah terjatuh ke dalam Sungai Padas. Haiwan malang itu dihanyutkan arus deras dan terkapai-kapai cuba menyelamatkan diri. Ia seterusnya dibawa arus ke sebuah jeram. Yang ajaibnya, anjing tersebut berjaya melepasi jeram dan kemudiannya berenang ke tepi sungai untuk menyelamatkan diri.
Begitulah asal usul bagaimana jeram Scooby Doo mendapat nama. River guide seterusnya meminta kami berdayung mengikut arah yang berlawanan. Yang duduk di sebelah kanan mendayung ke hadapan manakala yang di sebelah kiri pula mendayung ke belakang. Hasilnya, rakit kami tidak bergerak ke mana-mana melainkan berpusing tanpa henti.
Setelah agak lama, kami diminta sekali lagi terjun dari rakit. Dengan sorakan, seorang demi seorang melompat keluar. Sekali lagi, kami duduk dalam air dengan menghadapkan muka mengikut aliran sungai. Kami juga meluruskan kaki sambil tangan memegang kemas bahagian jeket di sebelah bahu. Seterusnya, mengayuh kaki dan tangan untuk ke tebing sungai berhampiran stesen Rayoh.
Kami kemudiannya mandi membersihkan diri sebelum menghadapi hidangan yang disediakan oleh pihak penganjur. Kami yang keletihan dan diburu rasa kelaparan makan dengan sepuas-puasnya. Menunya cukup lumayan dan enak, nasi goreng Cina dimakan bersama kepingan daging kambing dan potongan ayam babeku. Air mineral dan buah potong segar memperlengkapkan hidangan.
Kami seterusnya naik semula keretapi dan ramai yang terlena dek keletihan hingga ke pekan Beaufort. Perjalanan selepas itu bersambung dengan van hingga ke tempat penginapan di Kota Kinabalu. Keesokan harinya pula, kami terbang di awan biru dan tiba di KLIA 2 jam setengah kemudian. Mendaki Gunung Kinabalu dan berakit arus deras Sungai Padas, kehebatannya melangkaui kenyataan.






