Kyoto, kota paling cantik ~ KOSMO 07/06/08

Tour Of Japan – Part 1 (Osaka, Kyoto, Seto-Ohashi)

Bandaraya Hiroshima dan Nagasaki di Jepun mungkin musnah dek serangan bom nuklear dalam Perang Dunia Kedua. Manakala hampir separuh daripada Tokyo, ibunegaranya, ranap dek pengeboman bertalu-talu oleh kapalterbang Superfortress Amerika Syarikat. Namun, kemampuan Jepun untuk bangkit semula hingga menjadi gergasi ekonomi dan teknologi dunia memang mengagumkan.

Osaka merupakan antara bandaraya Negara matahari terbit itu yang sempat saya lawati. Bandaraya kedua terbesar selepas Tokyo dengan populasi mencecah kira-kira 2.5 juta orang itu juga merupakan pusat komersil sejak dulu lagi. Menurut catatan sejarah, kota itu juga merupakan ibunegara Jepun yang pertama yang dikenali sebagai Naniwa.

Lawatan ke Osaka dianggap tidak lengkap sekiranya tidak mengunjungi Kaiyukan Akuarium Osaka, antara akuarium terbesar dunia. Bangunan lapan tingkat akuarium yang dibina di Minato berhampiran Teluk Osaka itu dibuka secara rasmi pada 8 April 1988.

Rekabentuk Akuarium Osaka adalah berkonsepkan Lingkaran Api (Ring of Fire) dan Lingkaran Kehidupan (Ring of Life). Konsep ini berlandaskan kepada interaksi antara pelbagai organisma hidup yang mendiami planet ini. Kompleks akuarium serba canggih ini menampung kehidupan 30,000 spesimen yang merangkumi 470 spesis fauna seperti ikan dan mamalia serta 110 spesis flora.

Jerung paus (whale shark), spesis ikan terbesar dunia yang hanya makan organisma seni laut seperti plankton, merupakan antara daya tarikan utama di sini. Organisma lain termasuklah ketam gergasi Pasifik yang hidup di dasar laut pada kedalaman 100 hingga 200 meter. Di samping itu, pelbagai spesis ikan, burung penguin dan anjing laut turut hidup dalam persekitaran penuh artifisal tetapi mengujakan ini.

Destinasi kami yang berikutnya adalah Kyoto, bandaraya yang pernah menjadi ibunegara dan kediaman rasmi Maharaja Jepun dari tahun 794 sehinggalah Restorasi Meiji pada 1868 di mana pusat pentadbiran negara dipindahkan ke Tokyo hingga kini. Reputasi Kyoto sebagai kota paling cantik dunia sering menggamit pelancong dari pelosok dunia.

Kota ini juga merupakan ibunegeri Prefektur Kyoto serta bahagian utama kawasan metropolitan rangkaian Osaka-Kobe-Kyoto. Bandaraya berkeluasan 827.90 kilometer persegi yang terletak di wilayah Kansai ini mempunyai populasi kira-kira 1.5 juta.

Kami mengunjungi Istana Nijo yang merupakan antara daya tarikan utama kotaraya Kyoto. Istana itu diilhamkan pembinaannya pada 1601oleh Tokugawa Ieyasu, seorang panglima tentera dan pengasas Shogun Tokugawa. Istana Nijo akhirnya siap dibina semasa pemerintahan Tokugawa Iemitsu pada 1626.

Istana Nijo pada asasnya terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Istana Honmaru dan Istana Ninomaru di samping bangunan sokongan dan taman menghijau. Istana Ninomaru turut menjadi saksi terhadap detik-detik bersejarah pada 1867, apabila Tokugawa Yoshinobu membuat deklarasi menyerahkan semula tampuk pemerintahan negara kepada Maharaja.

Istana Ninomaru, dengan keluasan 3,300 meter persegi, dibina dengan menggunakan kayu Hinoki (Chamaecyparis obtusa) yang endemik kepada bahagian tengah Jepun. Istana ini didekorasi indah dengan daun emas dan ukiran kayu bagi menyerlahkan kuasa dan kemewahan golongan shogun yang memerintah. Di samping itu, pintu gelonsor yang dipanggil shoji dalam bahasa Jepun dan dinding bilik dihiasi dengan hasil tangan pelukis-pelukis handalan dari sekolah Kano.

Lantai nightingale di bahagian koridor pula merupakan ciri teristimewa istana ini di mana sesuai dengan namanya, kepingan kayu lantai akan mengeluarkan bunyi burung setiap kali ianya dipijak. Ianya berfungsi sebagai sistem penggera bagi menjamin sekuriti penghuni istana daripada ancaman penceroboh dan serangan pembunuh upahan.

Istana kedua, iaitu Istana Honmaru pula berkeluasan 1,600 meter persegi dan mempunyai empat bahagian iaitu tempat tinggal, bilik tetamu, ruang hiburan dan dapur. Istana yang bersenibinakan akhir Edo ini asalnya dikenali sebagai Istana Katsura. Bangunan tradisional yang indah ini turut memperagakan hasil kerja pelukis ternama Jepun seperti Kano Eigaku.

Persekitaran Istana Nijo juga menghijau dengan taman dan pokok-pokok ceri serta pokok ume (aprikot Jepun). Taman Ninomaru pula direkabentuk oleh akitek landskap tersohor Jepun, iaitu Kobori Enshu. Taman ini juga dilengkapi dengan kolam besar berserta tiga buah pulau dan pepohon pain topiari.

Saya turut melawat sebuah gedung menjual kimono tatkala berkunjung ke Kyoto. Kimono, yang bermaksud pakaian dalam bahasa Jepun merupakan pakaian tradisional yang diadaptasi daripada pakaian bangsa Cina yang dipanggil hanfu seawal Kurun Kelima.

Kimono tradisional Jepun dijahit tangan dengan corak cetakan tangan berlapis-lapis yang dikenali sebagai yuzen. Di samping itu, fabrik yang digunakan dalam pembuatannya pula adalah sutera atau satin. Manakala kain kapas digunakan untuk membuat yukata, sejenis kimono yang sering dipakai pada musim panas.

Kimono versi moden pula diperbuat daripada fabrik yang murah dan mudah dijaga seperti kapas, nilon dan gentian sintetik. Sementara itu, sutera masih dianggap sebagai bahan paling ideal dalam pembuatan kimono yang dipakai untuk upacara formal seperti perkahwinan dan upacara minum teh.

Masa turut merubah variasi pada warna, fabrik dan stail, serta aksesori yang dipakai seperti obi, iaitu bengkung, dan geta atau zori, yang bermaksud alas kaki. Kimono turut dipakai baik oleh lelaki maupun wanita dalam sukan tertentu seperti Kendo, satu displin seni mempertahankan diri Jepun.

Corak yang terhias pada kimono boleh menentukan musim pemakaiannya. Motif rama-rama atau bunga sakura melambangkan musim bunga manakala buluh, bunga ume (aprikot Jepun) atau pokok pain mencerminkan musim dingin. Di samping itu, corak daun pokok mapel Jepun digunakan pada kimono yang dipakai pada musim sejuk. Motif berasaskan air pula melambangkan musim panas.

Kami turut menonton pertunjukan pakaian kimono yang diperagakan oleh model-model tempatan. Saya difahamkan bahawa harga bagi sepersalinan kimono bermutu tinggi yang diperbuat daripada sutera boleh mencecah hampir RM70,000! Sememangnya keindahan serta keunikan khazanah yang diwarisi sejak turun temurun, dengan pelbagai motif dan warna memukau ini sukar dinafikan.

Selang beberapa hari kemudian, saya mengunjungi Seto Ohashi Fisherman’s Wharf. Kompleks ini dibina sebagai tarikan kepada pelancong dan dilengkapi dengan kedai menjual cenderahati, restoran dan tempat istirehat dengan taman yang indah. Turut didirikan adalah dermaga tempat kapal pelancongan Kanrimaru berlabuh. Kompleks ini dibina menghadap Jambatan Seto Ohashi, jambatan yang menghubungkan antara Pulau Honshu, pulau terbesar di Jepun, dengan Pulau Shikoku.

Jambatan sepanjang 13.1 kilometer ini merupakan sistem jambatan dua deret terpanjang di dunia. Jambatan ini direkabentuk untuk tahan gegaran gempa bumi yang kuat serta tiupan angin taufan yang mengganas. Di samping itu, sebanyak 2,000 syarikat pembinaan serta 13 juta pekerja terlibat dengan pembinaannya.

Jambatan ini mengambil masa 10 tahun untuk disiapkan dan mula digunakan sejak 10 April 1978. Jambatan dua tingkat ini memuatkan empat lorong lebuhraya trafik, dua rel keretapi dan dua rel keretapi laju atau shinkansen. Pembinaannya melibatkan kos sebanyak tujuh billion Dolar Amerika serta menggunakan 3,646,000 meter padu konkrit dan 705,000 ton keluli.

Saya dan beberapa rakan kemudiannya menyertai pengunjung-pengunjung lain menaiki kapal pelancongan Kanrimaru, yang berlabuh di Seto Ohashi Fisherman’s Wharf. Kami berdiri di atas geladak sambil memegang birai kapal, merenung jauh ke arah horizon yang agak hening. Kadang-kala kabus tebal meliputi pandangan, sesuatu yang sinonim dengan kawasan laut Jepun ketika musim luruh.

Pelayaran kami tidak pernah terlepas dibayangi struktur mega Jambatan Seto Ohashi. Kapal yang kami naiki berlayar perlahan, melalui permukaan laut yang agak tenang. Gerimis turun membasahi bumi, menurunkan lagi suhu yang tersedia rendah. Kami menggigil kesejukan berdiri memeluk tubuh sambil menikmati pemandangan yang dibayangi cahaya suram.

Pelayaran kami di sekitar Laut Pedalaman Seto dan Taman Negara Setonaikai itu berlanjutan selama kira-kira 45 minit. Kami kemudiannya pulang ke tempat penginapan di Kurashiki ketika remang-remang senja dengan warna keemasannya mula mewarnai alam maya indah ciptaan Tuhan.

Makkah, Perjalanan SpiritualKu ~ KOSMO 11 Julai 2006

PERJALANAN SPIRITUL KU, CATATAN KETIKA MENUNAIKAN FARDHU HAJI DI MAKKAH

9 Zulhijjah: Jam di tangan saya telah menunjukkan ke pukul 2.00 petang. Mereka masih datang berbondong-bondong dan menyesakkan jalanraya berhampiran hotel yang kami tumpangi. Masa berjalan begitu pantas. Sudah lama saya berada di bumi Makkah, iaitu sejak 3 minggu lepas.

Sejak pagi lagi mereka memenuhi jalanraya. Ada yang menaiki bas dan tak kurang juga yang menaiki lori, van dan kereta. Ramai juga yang berjalan kaki. Kami dijangka menyertai mereka yang bertali arus pada malam nanti, selepas fardhu Isyak.
Ibadah haji untuk semua manusia di muka bumi ini akan bermula esok di padang Arafah.

Saya berasa hairan apabila terlihat kumpulan-kumpulan jemaah haji yang berpakaian ihram serba putih menaiki kenderaan tanpa bumbung. Baik lori ataupun bas, begitu juga dengan van, kenderaan yang mereka naiki sememangnya tidak berbumbung. Mereka melambai-lambaikan tangan tatkala saya merakamkan gambar.

10 Zulhijjah: Pada sebelah malamnya, iaitu pada kira-kira pukul 11.00 malam, kami mula meninggalkan perkarangan hotel. Kami juga berpakaian ihram seperti mana mereka yang telah lama melewati kami sejak awal pagi lagi. Pakaian ihram wajib dikenakan ketika menunaikan ibadat haji dan umrah.

Jemaah haji juga tertakluk kepada beberapa pantang-larang ketika dalam ihram. Mereka dilarang daripada memakai bau-bauan, menggunting rambut dan mengerat kuku, dan memusnah segala bentuk hidupan seperti mencabut atau merosakkan pokok serta membunuh atau mencederakan haiwan.

Jalanraya menuju Arafah penuh sesak dengan pejalan kaki serta kenderaan bermotor dari pelbagai bentuk dan saiz. Arafah bukannya jauh dari kota Makkah, hanya 22 kilometer tetapi kami terpaksa mengambil masa yang panjang menempuhi kesesakan jalanraya. Tepat pukul 1.00 pagi, kami tiba di bumi Arafah.

Cuaca begitu cerah dengan langit biru di sebelah siangnya. Pemandangan gurun yang terhampar luas sememangnya indah, satu panorama yang begitu sinonim dengan Negara-negara Timur Tengah seperti Arab Saudi. Arab Saudi merupakan bumi kelahiran insan bernama Muhammad Bin Abdullah, Rasul junjungan.

Bumi Arafah telah bertukar kepada bandaraya khemah. Ribuan khemah didirikan bagi menampung perkumpulan manusia terbesar di dunia yang dianggarkan melangkaui angka 2 juta umat Islam. Khemah-khemah sementara yang didirikan begitu ringkas, diperbuat dari helaian kain tebal yang disokong dengan batang-batang kayu.

Wukuf atau berada di Arafah merupakan rukun haji dan tiada alternatif untuk tidak berada di situ bagi semua jemaah. Mereka wajib berada di situ, walaupun sedetik, di antara waktu Zuhur hingga terbenam matahari. Jemaah yang benar-benar uzur tidak terkecuali dan akan dibawa ke situ dengan bantuan ambulan.

Saya duduk di bawah sepohon pokok sejurus selepas menunaikan solat fardhu Zuhur dan Asar Jamak. Kesempatan berada seorang diri saya pergunakan sepenuhnya untuk berzikir dan bermunajat kepada Allah, dan memohon ampun terhadap dosa-dosa yang pernah saya lakukan sepanjang usia dewasa.

Entah dari mana datangnya, seorang pemuda berbangsa Arab menyapa saya. Beliau menggunakan bahasa isyarat, ingin mengetahui samada saya telah makan. Saya membalas pelawaaan beliau, dengan bahasa isyarat juga, bahawa perut saya telah kenyang. Saya berasa kesal kerana komunikasi kami terbatas oleh bahasa.

Mungkin kurang berpuashati, agak saya, beliau datang lebih dekat. Di tangan beliau ada beberapa biji buah epal dan oren, dan sebilah pisau plastik. Beliau menyerahkannya kepada saya dan saya menerimanya dengan ucapan terina kasih. Sesungguhnya budi bahasa itu tidak mengenal batas bahasa dan bangsa.

11 Zulhijjah: Matahari mula tenggelam di ufuk Barat. Cahaya kemerahan yang menyimbahi padang pasir saujana mata memandang merupakan panorama yang memukau pandangan. Kami kemudiannya meninggalkan Arafah selepas solat fardhu Maghrib dan Isyak Jamak. Destinasi berikutnya adalah Muzdalifah yang terletak kira-kira 7 kilometer jauhnya.

Jalanraya yang kami tempuhi tetap sesak. 2 juta umat manusia bergerak pada waktu dan hari yang sama ke destinasi yang sama. Tetapi saya bersyukur kerana kami sentiasa berada dalam pengawasan Allah. Kami selamat tiba di Muzdalifah, bermabit dengan jemaah lain yang datang dari segenap pelosok dunia.

Saya dan isteri berada bersama-sama dengan kelompok jemaah haji dari Malaysia yang berjumlah melebihi 20 ribu orang. Kami kemudiannya menguis-nguis bumi Muzdalifah yang kering kontang, mencari anak-anak batu yang akan digunakan untuk melontar jamrah di Mina kelak.

Kami selepas itu hanya duduk dengan sabar menantikan kenderaan yang akan membawa kami ke Mina pula. Kerajaan Arab Saudi memperkenalkan sistem Taraddudiah, atau shuttle-bus, untuk tujuan itu. Melalui sistem tersebut, bas bergerak mengikut sektor Makkah-Arafah, Arafah-Muzdalifah, Muzdalifah-Mina dan Mina-Makkah.

Saya, yang hanya beralaskan sehelai kain kanvas, sempat melelapkan mata ketika duduk bersama-sama dengan jemaah senegara ketika menunggu bas untuk ke Mina. Cuaca di malam hari agak dingin tetapi kering tiada berembun. Bumi di kawasan gurun kering kontang dan kelembapan bandingannya sangat rendah.

Kami kemudiannya menunaikan solat Fajar berjemaah dan tatkala langit mula cerah, kami sama-sama beratur menaiki bas. Kami merupakan di antara kumpulan jemaah dari Malaysia yang terakhir, yang tiba di Mina. Ramai rakan-rakan senegara yang telah selamat tiba dengan bas-bas yang terdahulu.

Hari sudah cerah ketika kami tiba di khemah masing-masing. Tidak seperti di Arafah, khemah di sebelah Mina merupakan struktur tetap dan dilengkapi dengan sistem pendingin hawa. Mina juga merupakan kota khemah seperti mana Arafah. Ribuan khemah didirikan oleh pemerintah Arab Saudi untuk menempatkan jemaah haji.

Khemah di Mina tidak dilengkapi dengan tilam nipis seperti di Arafah. Lantai khemah dilapik dengan permaidani. Khemah dan permaidani adalah dua elemen penting yang menjadi simbol kepada masyarakat Arab, masyarakat yang menjadikan padang pasir sebagai habitat sejak ribuan tahun.

Kira-kira pukul 10.00 pagi, selepas menghadapi sarapan pagi, saya, Kahar, Abang Ibrahim dan Abang Shaari, meninggalkan kawasan khemah Malaysia. Kami bercadang berjalan kaki ke Jamratul Aqabah. Kami berjalan sambil mengamati dengan teliti keadaan sekeliling, takut-takut tersesat ketika pulang semula kelak.

Kami melewati ribuan khemah yang menempatkan jemaah dari pelbagai Negara. Yang menjadi masalah adalah bentuk dan warna khemahnya serupa, yang membedakan hanyalah bendera Negara dan angka dalam kaligrafi Arab. Jadi bukan mudah untuk pulang semula ke khemah yang betul sekiranya tersesat jalan.

Kami berjalan agak lama juga, iaitu kira-kira 30 minit berpandukan kepada papan tanda yang berutlis rumi. Tempat melontar atau jamrah dibina dua tingkat untuk menampung jumlah jemaah yang sangat ramai. Dari jauh lagi kedengaran hingar-bingar, suasana dirasakan begitu tegang sekali.

Tempat pertama untuk membuat lontaran, iaitu Jamratul Aqabah begitu sesak. Kami menyertai ribuan jemaah lain yang sedang melontar, bunyi batu kelikir yang menghentam tiang jamrah jelas kedengaran. Tiba-tiba kening saya terasa pedih. Rupa-rupanya ada lontaran yang tersasar arah dan kening saya pula yang jadi mangsa!

Entah di mana silapnya, saya rasakan bahawa kedua-dua belah kaki saya tidak lagi berpijak ke bumi nyata. Saya merasa amat takut. Sekiranya saya hilang imbangan dan terjatuh, sudak tentu saya akan terpijak oleh ribuan jemaah yang berpusu-pusu mendekati Jamratul Aqabah untuk menyempurnakan lontaran.

Saya kemudiannya memandang sekeliling untuk mencari jalan keluar dari keadaan yang cukup genting itu. Saya kini betul-betul berada di atas lautan manusia dan dengan bersusah payah saya kemudiannya berjaya keluar dari sisuasi yang begitu menyesakkan. Saya bersyukur kepada Allah kerana berjaya menyelamatkan diri.

Saya tidak mengetahui perihal nasib 3 rakan lain. Saya cuba-cuba meninjau keadaan mereka. Tetapi keadaan jelas merbahaya. Keadaan menjadi bertambah kelam-kabut. Saya kemudiannya mengambil keputusan meninggalkan kawasan tersebut dan berjalan pulang ke khemah sambil berdoa moga-moga mereka semua terselamat.

Beberapa jam kemudian, tiga rakan yang bersama saya sebelum itu, tiba di khemah. Kami kemudiannya mendapat berita yang menghayat hati. Hampir 300 jemaah terkorban manakala jumlah yang lebih besar tercedera semasa berasak-asak melontar di Jamratul Aqabah. Kami betul-betul berada di situ beberapa jam tadi.

Kami juga diberitahu selepas itu bahawa pihak berkuasa telah menutup kawasan jamrah bagi menghalang kejadian buruk itu dari merebak. Siren ambulan juga jelas kedengaran dari tempat kami tinggal. Helikopter juga terbang mundar-mandir, memantau kawasan yang dilanda bencana.

12 Zulhijjah: Pada malamnya, saya dan isteri, bersama beberapa rakan lain berkunjung ke Jamratul Aqabah. Walaupun kami terpaksa berasak-asak namun keadaannya lebih terkawal, tidak sesesak seperti mana siangnya. Kami akhirnya berjaya menunaikan salah satu ritual haji, iaitu melontar jamrah.

Saya dan isteri, bersama-sama pasangan Kahar dan Azah, kemudiannya meninggalkan kawasan Mina selepas tengah malam. Kami menaiki sebuah bas yang hampir penuh. Tambang ke kota Makkah, yang jaraknya hanya 7 km jauhnya adalah 10 Riyal Saudi, iaitu kira-kira RM10.

Jalan yang kami tempuhi terang-benderang dan sarat dengan pelbagai kenderaan kecil, besar. Ramai juga jemaah yang berjalan kaki di kiri dan kanan jalan yang kami tempuhi. Hampir kesemuanya bergerak ke arah yang sama, iaitu ke kota suci Makkah bagi menunaikan ritual-ritual haji yang seterusnya.

Kami kemudiannya menyempurnakan rukun-rukun tawaf mengelilingi Kaabah dan saei di antara Safa dan Marwah. Kami mengucapkan syukur kepada Allah kerana memberikan kami peluang melakukan rukun-rukun tersebut sebaik mungkin. Kami kemudiannya menggunting beberapa helai rambut sebelum pulang ke hotel.

Kota Makkah kurang sesak di sebelah siangnya kerana ramai jemaah berada di Mina untuk bermabit. Saya berjalan seorang diri dari satu gerai ke gerai yang lain, sesuatu yang kerap saya lakukan sebelum itu. Saya seterusnya melangkahkan kaki masuk ke sebuah kedai gunting rambut.

5 Riyal untuk bergunting manakala 10 untuk bercukur botak. Saya seterusnya memilih alternatif kedua dan tidak sampai 5 minit, kepala saya yang berambut tebal telah botak licin. Itulah pertama kali dalam sejarah hidup saya membotakkan kepala. Rasanya aneh, tetapi apabila memandang cermin, saya suka apa yang saya lihat!

Pada petang hari yang sama, kami berempat menyewa sebuah teksi untuk kembali ke Mina. Keadaan jalan yang terlalu sesak memaksa kami berhenti di pertengahan jalan. Kami tiada pilihan melainkan meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki ke Mina seperti mana ribuan jemaah haji lain.

13 dan 14 Zulhijjah: Kami tiba di Mina ketika matahari mula tenggelam di ufuk Barat. Kami seterusnya menunaikan fardhu Maghrib berjemaah. Selepas itu, kami menyempurnakan lontaran di ketiga-tiga jamrah, Aqabah, Ula dan Wusta. Keadaan tidaklah sesesak mana, jadi mudahlah bagi kami menyempurnakan ritual itu.

Kami tinggal di Mina selama 2 hari berikutnya untuk menyempurnakan Nafal Thani. Ada juga jemaah yang hanya menunaikan Nafal Awal di nama mereka pulang sehari lebih awal dari jemaah yang terus menerus tinggal di Mina bagi memperlengkapkan Nafal Thani.

Kami pulang semula ke hotel masing-masing setelah menyempurnakan segala rukun dan wajib haji. Tiada yang menggembirakan hati kami semua, selain dari menyelesaikan satu tanggungan syarak yang berat, iaitu menyempurnakan rukun Islam kelima. Moga-moga Allah menerima ibadah kami semua.

Saya dan beberapa rakan dari kumpulan jemaah haji yang sama tidak berada lama di bumi Makkah selepas itu. Beberapa hari kemudian, iaitu selepas menunaikan fardhu Asar di Masjidil Haram, saya mengetuai isteri menunaikan tawaf Wida’ atau tawaf selamat tinggal.

Pada malam hari yang sama, kami meninggalkan kota suci Makkah untuk ke Madinah. Perjalanan dengan bas itu adalah melalui kawasan padang pasir yang luas. Selamat tinggal Makkah Al-Mukarramah dan selamat datang Madinah Al-Munawwarah. Semoga Allah merahmati perjalanan dan hidup kami semua.

Kathmandu Yang Ku Kenal ~ KOSMO 01 Jul 2006

Kami meninggalkan lapangan terbang Lukla dengan kapalterbang Twin Otter pada pukul 8.30 pagi. Pemandangan di kawasan pergunungan Himalaya Nepal dengan puncak gunung bersalji yang memutih dengan lerenng gunung yang berteres untuk pertanian begitu indah dan mengujakan. 40 minit kemudian, kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu.

Kali pertama kami tiba di Kathmandu adalah 15 hari lepas. Namun ketika itu, kami sibuk dengan persiapan untuk treking di Everest Base Camp dan Gunung Kalapatthar. Pakaian panas, bahan perubatan, jurupandu jalan dan porter perlu dicari ketika itu. Setelah puas mengembara di kawasan pergunungan yang indah dan mengujakan, tibalah masanya untuk menikmati masa-masa bersantai di kotaraya itu.

Kathmandu, yang ujud di Lembah Kathmandu sejak ribuan tahun dengan populasi 1.5 juta merupakan ibunegara Nepal. Bandar-bandar lain yang berhampiran adalah Bakhtapur dan Patan. Kathmandu sangat popular di kalangan pelancong dari Barat sejak 1960an lagi di mana kotaraya tersebut menjadi tempat persinggahan utama bagi golongan Hippies.

Kami yang seramai 7 orang kemudiannya menyewa 2 buah teksi menuju ke Thamel, sebuah kawasan yang begitu sinonim dengan pelancong asing di Kathmandu. Kebanyakan teksi yang digunakan bersaiz kecil dengan muatan enjin kurang dari 1,000 sentimeter padu. Harga petrol pula mencecah 1 Dolar Amerika atau RM3.65 seliter, jauh lebih tinggi dari di Malaysia yang dijual dengan harga RM1.92 seliter sahaja.

Jalanraya di ibunegara Nepal tersebut agak sempit dan berdebu. Keadaannya juga sentiasa sibuk dengan pelbagai kenderaan kecil dan besar. Beca masih lagi digunakan secara meluas untuk mengangkut penumpang maupun barang-barang. Selain dari itu, tut-tut, iaitu sejenis kenderaan bermotor roda tiga yang popular di Bangkok, Thailand, juga boleh dijumpai di Kathmandu.

Kami kemudiannya menginap di sebuah rumah tumpangan yang dikenali sebagai Kathmandu Holiday Inn. Terdapat banyak kedai yang menjual pelbagai barangan berhampiran tempat kami menginap. Kedai menjual pakaian dan peralatan treking sangat popular di situ. Nepal sememangnya dari dulu lagi menjadi syurga bagi peminat-peminat aktiviti menjelajah kawasan pergunungan Himalaya.

Ramai pelancong asing membanjiri Kathmandu hampir setiap masa. Kebanyakan dari mereka datang dari Negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Negara-negara bekas Soviet seperti Slovakia dan Republik Czech. Sebilangan besar datang untuk mengembara di kawasan pergunungan Nepal seperti Annapurna, Langtang dan Solukhumbu yang tersohor dengan Gunung Everestnya.

Kedai menjual pakaian seperti kemeja-t dan fabrik juga mudah ditemui. Fabrik yang popular,yang dijual termasuklah pashmina atau cashmere dalam bahasa Inggeris. Fabrik tersebut sangat lembut dan halus buatannya, biasanya dijadikan selendang dalam pelbagai warna yang cantik. Pashmina ditenun dari benang bulu terpilih dari baka kambing Kashmir yang endemik kepada China, Mongolia dan Tibet.

Kemeja-t yang dijual adalah unik di mana motif pada pakaian tersebut tidak dicetak dengan pewarna sebagaimana kebiasaannya. Kemeja-t itu sebaliknya disulam dengan benang pelbagai warna. Pelanggan boleh membeli kemeja-t yang sudah siap atau menempah rekabentuk yang mereka hajatkan. Kebanyakan tuan punya kedai merupakan tukang jahit yang menyulam sendiri pelbagai motif di atas kemeja-t.

Banyak restoran yang menyediakan pelbagai masakan dari pelbagai Negara seperti Korea, India dan makanan Barat. Momo, atau dumpling, adalah di antara hidangan popular di Nepal. Momo dikatakan berasal dari Tibet dan berintikan ramuan-ramuan seperti sayur dan daging. Manakala makanan tradisi Nepal pula adalah dhal bat, iaitu hidangan nasi berlaukkan kuah dhal, kari ayam atau daging dan sayuran.

Nasi beriyani yang kami nikmati pada satu tengahari amat menyelerakan. Saya, yang sukakan makanan berempah India, tidak pernah menjamah nasi beriyani yang begitu hebat. Sedapnya hingga menjilat jari! Kami makan bersama-sama dengan kari kambing dan ayam goreng berempah yang tidak kurang istimewanya. Saya memperlengkapkan sajian makan tengahari tersebut dengan minuman lassi.

Kami juga mencuba pizza di satu-satunya pizzeria (restoran pizza) di Kathmandu. Restoran tersebut beroperasi sejak 14 Januari 1995. Apa yang menarik adalah pengusahanya seorang wanita warga Itali, Annamaria Forgione Wiseman. Beliau yang pertama kali menjejakkan kaki di Nepal pada 1988 telah jatuh hati dengan Negara tersebut dan kemudiannya mengambil keputusan untuk terus menetap di situ.

Saya, Isham dan Ana juga mengunjungi sebuah kedai buku berhampiran Kathmandu Guest House. Kedai buku popular tersebut merupakan ‘3 dalam 1’. Selain dari bermacam judul buku, kedai tersebut juga menjual pakaian dan fabrik seperti pashmina dan sari. Manakala bahagian belakang bangunan kedai pula dijadikan restoran yang berdekokan artifak Hindu dan Buddha.

Ramai penjaja yang kami temui menjual pelbagai kraftangan tradisional Tibet dan Nepal di kaki-kaki lima jalan. Barangan yang mereka jual termasuklah ukiran patung dewa-dewa Hindu dan Buddha serta rantai tangan dan leher yang diperbuat dari batu-batu permata berkualiti sederhana. Ada yang menjaja seruling yang diperbuat dari kayu gaharu. Merdu sungguh melodi lagu-lagu tradisi Nepal yang mereka mainkan.

Kebanyakan tuan-tuan punya kedai barang kemas dan permata yang saya temui beragama Islam, salah satu agama minoriti di Nepal. Majoriti penduduknya pula beragama Hindu dan Buddha. Sehingga 18 Mei 2006, Nepal merupakan satu-satunya Negara Hindu di muka bumi ini. Kemelut politik telah menyebabkan perlembagaan Negara diubah dan sejak dari tarikh itu, Nepal telah bertukar kepada Negara sekular.

Terdapat 7 lokasi di Lembah Kathmandu yang diwartakan oleh UNESCO (United Nation Educational, Scientific and Cultural Organization) sebagai Tapak Warisan Dunia (World Heritage Site). Tempat-tempat tersebut adalah Kathmandu Durbar Square, Bakhtapur Durbar Square, Patan Durbar Square, Swoyambunath, Bouddhanath, Pashupatinath dan Changunarayan.

Kami berkesempatan mengunjungi 3 dari 7 Tapak Warisan Dunia itu, iaitu Swoyambunath, Bouddhanath dan Patan Durbar Square. Tempat pertama yang kami kunjungi adalah Swoyambunath. Kawasan tersebut terletak di atas bukit kira-kira 5 kilometer ke barat pusat kotaraya Kathmandu. Stupa tersebut merupakan yang tertua di Lembah Kathmandu dan telah dibina 2,500 tahun yang silam.

Swoyambunath juga dikenali sebagai Kuil Monyet kerana haiwan tersebut banyak kelihatan di situ. Pengunjung biasanya mendaki 365 anak tangga untuk ke kuil dan angka 365 mencerminkan jumlah hari dalam setahun. Memandangkan kami datang pada hari Sabtu, iaitu hari cuti hujung minggu bagi Nepal, kawasan kuil sesak dengan pengunjung yang datang untuk menyempurnakan ritual keagamaan masing-masing.

Kami berpeluang menyaksikan panorama kota Kathmandu dari puncak bukit. Terdapat pondok yang menempatkan unit-unit teropong yang dibina untuk kemudahan pengunjung. Berdasarkan pemerhatian saya, tidak ada bangunan pencakar langit yang didirikan di Kathmandu. Bangunan paling tinggi yang saya lihat tidak mencecah walaupun 10 tingkat.

Selepas itu, kami pergi ke stupa Bouddhanath yang juga dikenali sebagai Khasti Chitya. Stupa merupakan binaan yang berkonsepkan unsur-unsur kerohanian dalam agama Buddha. Di bahagian atas struktur tersebut dihiasi dengan lukisan berbentuk mata, yang dipanggil ‘Mata Buddha’ (Eye of Buddha). Bagi masyarakat Tibet pula, stupa dikenali sebagai chorten.

Bouddhanath, dengan stupa berketinggian 36 meter dan bergaris pusat 100 meter merupakan stupa terbesar di Asia Selatan. Kawasan itu juga terletak di laluan perdagangan silam ke Tibet. Pedagang-pedagang dari Tibet menjadikan Bouddhanath sebagai tempat persinggahan untuk berihat dan beribadat. Bouddhanath kini menjadi pusat kebudayaan Tibet di Nepal.

Perayaan utama yang diraikan di situ adalah Tahun Baru Tibet atau Lhosar yang jatuh pada setiap Februari. Masyarakat Tibet dari kawasan berhampiran seperti Laddakh, Sikkim dan Bhutan datang ke situ bagi sama-sama meraikan hari istimewa itu. Di sekitar kompleks stupa Bouddhanath itu terdapat banyak kedai-kedai kecil menjual pelbagai barangan kraftangan dan restoran.

Kami meninggalkan Bouddhanath sebaik hujan reda dan selepas menikmati makanan dan minuman panas dari sebuah restoran yang berhampiran. Destinasi kami berikutnya adalah Patan Durbar Square. Patan, yang dikatakan kota Buddha tertua di dunia, juga dikenali sebagai Lalitpur. Kawasan Patan terkenal dengan kehalusan kraftangan tradisionalnya dan kaya dengan warisan kesenian.

Struktur dan bangunan di kota purba Patan adalah didominasi oleh senibina Newar. Kumpulan etnik Newar merupakan penduduk asal Lembah Kathmandu dan tamadun mereka ujud sejak kurun ke-6 Sebelum Masihi lagi. Ada teori yang mengatakan bahawa mereka berasal dari bangsa Kiranti dan Lichhavis, yang pernah menguasai Lembah Kathmandu pada zaman silam.

Patan juga dikelilingi oleh 4 stupa yang membentuk 4 penjuru Patan. Stupa-stupa tersebut dikatakan dibina oleh Maharaja Ashoka, seorang raja yang tersohor, dan dibina pada kurun ke-3 Sebelum Masihi. Di samping itu, banyak kuil telah dibina di kota purba Patan dan kuil Krishna yang dibina oleh Siddhi Narsingha Mala pada 1637 adalah dipengaruhi oleh stail Shikhara, yang berasal dari India.

Kuil Emas, atau Hiranya Varna Mahavihar pula dibina pada kurun ke-12 dan popular di kalangan penganut Buddha Patan. Kuil-kuil lain termasuklah Kuil Jagat Narayan, Kuil Hari Shanker dan Kuil Vishwanath. Kami juga meluangkan masa untuk melawat Kuil Char-narayan, kuil yang cukup terkenal dengan ukiran kayunya yang berkesenian tinggi.

Ramai pelancong asing mengunjungi Patan Durbar Square. Penjaja pula menjual pelbagai barang dagangan seperti hasil kraftangan. Tidak kurang juga yang menjual minuman dan buahan seperti mangga dengan tembikai potong. Di Patan Durbar Square juga terdapat sebuah muzium dan kedai buku. Kedai buku itu turut menjual buku-buku klasik India kuno termasuk Kama Sutra.

Kama Sutra merupakan hasil penulisan mengenai cinta dan seks dalam kesusasteraan Sanskrit. Ia telah dihasilkan oleh Vatsyayana Mallanaga pada zaman India klasik, atau dikenali sebagai Zaman Gupta di sekitar 320 hingga 540 Masihi. Kama Sutra kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Sir Francis Burton pada 1883, seorang pegawai tentera yang pernah bertugas di India.

Kami kemudiannya bertolak pulang ketika hari menjelang petang. Kami berasa keletihan yang amat sangat setelah sehari suntuk berjalan di sekitar kota Kathmandu. Baru beberapa minit meninggalkan Patan Durbar Square, kami terlena diulit mimpi-mimpi indah. Kami hanya terjaga ketika tiba di tempat kami menginap, iaitu di kawasan Thamel.

Kami kemudiannya keluar berjalan kaki ke sebuah pusat menjual pakaian dan peralatan kembara selepas menunaikan solat. Pusat tersebut mengadakan jualan murah dan ramai pelancong asing sudah berada di situ. Saya membeli sehelai jaket kalis air dengan harga 5,250 Rupee (RM275) selepas potongan 50%. Rakan-rakan lain juga tidak ketinggalan memborong seluar dan baju.

Kedai itu juga menjual peralatan kembara lain seperti khemah but dan beg galas. Beg-beg galas yang dijual adalah dalam pelbagai rekabentuk dan saiz. Pakaian dan peralatan kembara yang dijual di kedai tersebut diperbuat dari bahan berteknologi. Sudah tentu barangan tersebut dijual dengan harga yang tinggi dan ada yang mencecah empat angka Ringgit Malaysia.

Kami seterusnya menaiki van ke lapangan terbang dengan diiringi oleh Santaman Tamang. Masa dirasakan berjalan begitu pantas, sudah 3 minggu kami berada di bumi Nepal. Tibalah masanya untuk pulang semula ke tanah air. Kami kemudiannya bersalaman dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Santaman, yang telah banyak membantu kami ketika berada di Nepal.

Kapalterbang Royal Nepal Airlines yang kami naiki meninggalkan Lapangan Terbang Tribhuvan tepat pada pukul 11.30 malam. Penerbangan membelah kegelapan malam itu mengambil masa kira-kira 4 jam 15 minit. Kami kemudiannya selamat mendarat di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur. Syukur kepada Allah kerana menjadikan pengembaraan kami ini penuh dengan kenangan manis.

Tokyo Disneyland ~ KOSMO 18 Nov 2006

Statistiknya cukup hebat. Ia mampu meraih nilai kutipan tiket sebanyak USD132 juta (RM480 juta) dalam masa hanya 3 hari penayangan di pawagam. Demikianlah meriahnya filem cereka “Pirates of the Carribean 2; Dead Man’s Chest” keluaran Walt Disney. Walter Elias Disney, iaitu pengasas Walt Disney, mungkin telah pergi buat selama-lamanya sejak 1966, namun watak kelahiran Disney itu tetap hidup hingga kini.

Sejak kecil lagi saya meminati watak-watak kartun Disney. Minat tersebut tidak pernah terkubur walaupun usia telah mencecah ke alam dewasa. Mickey dan Minnie Mouse, Donald Duck dan Goofy, watak-watak tersebut sering bermain dalam fikiran. Saya juga menyimpan hasrat untuk mengunjungi Disneyland, taman tema paling ulung di dunia.

Kali pertama saya terlihat Tokyo Disneyland adalah ketika menaiki bas dari lapangan terbang Narita ke tempat penginapan di Hotel Holiday Inn Crowne Plaza di Ikebukuro, Tokyo. Hati begitu teruja apabila terlihat kastil Cinderella, ikon kepada taman tema yang menerima kira-kira 17 juta pengunjung setiap tahun. Kastil itu kelihatan sayup-sayup berdiri megah di Tokyo Bay, diselubungi kabus nipis.

Beberapa hari selepas tiba di Tokyo, saya dan beberapa rakan lain mencuba nasib menaiki densha, iaitu keretapi elektrik yang menjadi nadi pengangkutan utama di bandaraya Tokyo. Ketika itu musim luruh di Jepun dan hujan turun hampir setiap hari. Musim luruh di Jepun seringkali dikaitkan dengan ribut taufan, satu fenomena alam yang kerap mendatangkan kemusnahan di Negara matahari terbit itu.

Kami kemudiannya tiba di stesen Maihama, pintu masuk ke Tokyo Disneyland. Ketika itu hujan lebat dengan angin kencang melanda Tokyo Bay dan kastil Cinderella tidak kelihatan lansung. Puas kami menunggu, namun tiada tanda-tanda hujan ribut tersebut akan reda. Dengan hati yang berat, kami kemudiannya terpaksa berpatah balik ke tempat penginapan di Ikebukuro.

Beberapa hari kemudian, setelah berpindah ke Hotel Tokyo New Otani Inn, kami mencuba sekali lagi nasib untuk ke Tokyo Disneyland. Cuaca ketika itu agak baik dan kami berharap moga-moga kami akan berjaya juga untuk menjejakkan kaki ke taman tema itu. Kira-kira pukul 8.00 pagi, kami tiba di stesen Maihama untuk kali kedua. Kali ini hanya hujan renyai-renyai yang menyambut kedatangan kami.

Kami hanya mengambil masa 10 minit berjalan kaki dari stesen Maihama ke Tokyo Disneyland. Hati saya membuak-buak keujaan. Akhirnya sampai juga saya di mercu tanda yang menjadi impian sejak puluhan tahun. Kami tanpa berlengah-lengah terus mengeluarkan kamera, mengambil gambar berlatar-belakangkan kastil Cinderella, ikon yang selama ini hanya dilihat di kaca tv dan gambar-gambar poskad.

Tokyo Disneyland merupakan taman tema pertama dibina di luar tempat kelahirannya di Amerika Syarikat. Taman tema itu dibina di kawasan laut yang ditebus guna di Tokyo Bay, iaitu di Chiba Prefecture. Tokyo Disneyland dibuka dengan resminya pada 15 April 1983. Sejak dari tarikh itu, ia menerima kunjungan kira-kira 17 juta pengunjung setahun.

Kami membeli paspot masuk untuk sehari yang bernilai 5,500 Yen. Saya juga membeli sarung paspot bermotifkan Mickey Mouse dan mengepilkannya di jaket. Hujan renyai-renyai tetap turun namun pengunjung dari pelbagai lapisan umur tetap datang berbondong-bondong. Mendiang Walter Elias Disney, pengasas Disneyland, pernah berkata bahawa Disneyland adalah untuk semua.

Rambang mata dibuatnya sebaik kami melangkah masuk. Kami tidak tahu dari mana kami harus bermula. Selepas mentelaah direktori, saya mencadangkan supaya mencuba Space Mountain, permainan yang berasaskan roller coaster di Tomorrowland. Kami kemudiannya menuju Tomorrowland, dunia masa hadapan yang penuh dengan permainan futuristik seperti Space Mountain, Starjets dan Microadventure.

Kami menyertai ramai pengunjung yang berbaris panjang menunggu untuk menaiki roller coaster itu. Saya dapati Space Mountain amat diminati kerana kami terpaksa berbaris agak lama. Nota-nota amaran dipasang di beberapa tempat di sepanjang tempat kami berbaris. Nota-nota itu ditulis dalam bahasa Jepun dan Inggeris, dan memberitahu tentang risiko menaiki Space Mountain.

Space Mountain merupakan pengembaraan di galaksi yang jauh. Langitnya gelap pekat dengan bintang-bintang yang bergemerlapan. Apa yang menarik tentang perjalanan roller coaster itu adalah penumpang tidak tahu arah tuju kerana ia meluncur laju dalam gelap. Tidak kelihatan landasan yang memegang kenderaan tersebut. Kami meluncur laju ke atas, menjunam pantas ke bawah, serta ditolak ke arah kiri dan kanan.

Terjerit-jerit kami dibuatnya. Terteriak-teriak hingga hilang suara. Amat menggerunkan tetapi pada yang sama amat mengujakan. Pengembaraan serba laju itu hanya berlanjutan selama 3 minit tetapi ia dirasakan seperti tanpa penghujung. Kami menarik nafas lega apabila perjalanan ekstrem itu terhenti jua akhirnya. Kami kemudiannya berkunjung pula ke Toontown.

Toontown merupakan sebuah dunia kartun sehinggakan bangunan yang didirikan berbentuk herot dan dicat dengan pelbagai warna cerah yang memukau. Walaupun langit masih mendung dengan hujan renyai-renyai yang turun, Toontown masih ceria menerima kedatangan pengunjung yang tak putus-putus. Kami kemudiannya mengunjungi Mickey Mouse di rumahnya di Toontown.

Mickey Mouse merupakan watak kartun yang banyak menempa sejarah gemilang. Watak kartun ciptaan mendiang Walt Disney itu adalah watak kartun pertama dalam sejarah dijadikan filem animasi. Mickey Mouse juga dilahirkan sebagai watak kartun pertama yang boleh berkata-kata, di samping menjadi kartun pertama yang dikeluarkan dalam warna.

Pengalaman berada di rumah Mickey adalah sesuatu yang unik dan pada masa yang sama terasa aneh. Aneh, kerana segala-galanya bersifat 3-dimensi. Dunia kartun yang selama ini hanya mampu ditonton di kaca tv kini benar-benar dialami sendiri oleh pengunjung seperti kami. Ajaib sungguh apabila dunia yang penuh imaginasi ini kini menjadi realiti, ibarat mimpi dalam mimpi.

Pengalaman kami yang seterusnya di Toontown adalah menaiki roller coster Gadget’s Go Coaster. Tema itu adalah berdasarkan siri tv animasi kartun popular Chip ‘n Dale Rescue Rangers. Kami ber-roller coaster melalui dunia kartun Toontown dengan bangunannya yang pelik tetapi landskapnya menarik. Roller coaster yang berkelajuan maksima 35 km/jam itu mula beroperasi sejak 15 April 1996.

Banyak gambar yang saya rakamkan tatkala berada di sekitar Toontown. Antaranya, yang menarik perhatian saya adalah arca logam Pinnochio, yang dibina berhampiran pancutan air. Saya juga mengambil gambar di Fantasyland, dunia fantasi yang terkenal dengan perjalanan penuh misteri Cinderella. Cinderella, ibarat irama dan lagu, tidak dapat dipisahkan daripada rakan kerdil bertujuh, iaitu The Seven Dwarfs.

Destinasi kami seterusnya adalah Westernland, antara dunia tersohor di Disneyland dengan kehidupan koboi dan kaum pribumi Amerika Syarikat, iaitu Red Indian. Kami kemudiannya berlayar dengan Mark Twain Riverboat, bot yang digerakkan oleh kincir kayu yang mendapat kuasa dari stim. Walaupun hujan renyai masih turun, pelayaran itu tetap menarik ramai penumpang.

Mark Twain adalah nama pena bagi seorang penulis Amerika Abad ke-19, iaitu Samuel Langhorne Clemens. Beliau memberikan nafas baru kepada kesusasteraan Amerika melalui nevel klasiknya, iaitu The Adventures of Huckleberry Fin. Beliau juga menghasilkan novel Tom Sawyer dan tulisan beliau banyak berkisar tentang kehidupan di Sungai Mississippi, sungai yang banyak mewarnai sejarah silam Amerika.

Selepas itu kami berkunjung pula ke Big Thunder Mountain untuk mencuba sebuah lagi roller coaster. Kami terpaksa beratur-menunggu agak lama untuk naik. Roller coaster itu berkonsepkan keretapi yang beroperasi ketika kegemilangan mencari dan melombong emas. Kami menempuhi kawasan perlombongan di padang pasir yang tandus yang dipenuhi jurang dalam dan puncak bukit menjulang.

Kami juga bergerak laju menempuhi terowong usang, terowong yang penuh misteri. Kawasan lombong tinggal itu dikatakan berhantu. Sayup-sayup terdengar lolongan dan rintihan yang menyeramkan. Suara-suara itu datang daripada roh pelombong yang mati terperangkap, yang roh mereka tidak dapat bersemadi dengan tenang. Tetapi itu semua hanyalah ilusi dan bukannya realiti.

Westernland menjanjikan pengembaraan dan keseronokan tanpa penghujung. Country Bear Theatre, Tom Sawyer Island Raft dan Peco’s Goofy’s Frontier Revue merupakan antara tarikan yang menggamit pengunjung. Begitu halnya dengan Westernland Shooting Gallery, di mana kemahiran menembak dapat diuji melalui sasaran seperti botol yang melompat dan but koboi yang menari.

Pengembaraan kami tidak terhenti di Westernland sebaliknya berkesinambungan pula di Adventureland. Kami menaiki bot menyertai safari Jungle Cruise. Pengendali bot adalah seorang pencerita yang baik kerana penumpang tergelak besar setiap kali beliau bercerita. Cemburu juga saya dibuatnya kerana tidak faham, beliau bercerita dengan cerianya dalam bahasa Jepun.

Bot kami bergerak perlahan memudiki sungai yang sederhana lebarnya. Sungai itu mengalir di tengah-tengah hutan hujan Khatulistiwa yang tebal. Tiba-tiba kepala badak yang sangat besar keluar dari permukaan sungai. Kami begitu terperanjat sehinggakan ramai yang terjerit-jerit ketakutan. Rupa-rupanya kepala tersebut hanyalah sebuah robot tetapi kelihatan begitu hidup, kami tertipu dibuatnya!

Pengembaraan air kami tidak terhenti begitu sahaja di Jungle Cruise. Kami kemudiannya ‘main air’ lagi di Pirates of the Carribean. Tema yang sama digunakan ke atas filem cereka yang cukup popular di seluruh dunia. Filem box office tersebut mengisahkan pengembaraan dan telatah lucu Captain Jack Sparrow, seorang lanun yang sangat dikehendaki oleh Kerajaan Inggeris.

Bot yang kami naiki berlayar melalui kawasan laut dalam kegelapan malam. Langitnya hitam pekat tanpa berbintang, semuanya kelihatan begitu sepi. Tiba-tiba, keheningan malam dibingitkan oleh dentuman letupan meriam. Pihak lanun yang ber-maharajalela menembak ke arah kami. Percikan air jelas kedengaran, seolah-olah bola-bola besi lontaran meriam hampir-hampir mengenai bot kami.

Destinasi seterusnya adalah Swiss Family Tree House, iaitu rumah yang dibina di atas pokok, lengkap dengan segala kemudahan dan perkakasan sepertimana rumah yang biasa kita temui. Konsep ini diadaptasi dari sebuah siri tv yang pernah tersiar pada 1960, iaitu Swiss Family Robinson. Siri tersebut mengisahkan tentang sebuah keluarga yang karam di laut dan kemudiannya tinggal di sebuah pulau tak berpenghuni.

Tarikan lain di Adventureland termasuklah Westernland River Railroad, iaitu sebuah keretapi stim sebenar yang membawa penumpang mengelilingi Adventureland. Pengunjung juga boleh menyertai makan malam istimewa. Sambil menikmati hidangan, mereka akan dihiburkan oleh penari-penari Polynesia bersama dengan Mickey, Minnie dan Chip ‘n Dale di Minnie’s Polynesian Paradise.

Kami seterusnya berkunjung ke Visionarium, sebuah panggung unik yang layarnya merangkumi pandangan 360o. Kami berdiri selama 30 minit masa penayangan untuk menonton babak filem cereka yang dipancarkan melalui 9 lensa kamera robotik. Kami terpaksa berpusing hampir setiap masa supaya tidak terlepas pandang pemandangan melalui udara ketika berada di belon udara panas.

Belon tersebut bergerak pantas di angkasa melalui puncak-puncak gunung, lembah beralun berumput hijau yang memukau dan kawasan desa Eropah. Filem tersebut berkisar tentang pengembaraan melalui mesin masa, yang diadaptasi dari novel karangan Jules Verne. Jules Verne banyak menghasilkan cerita sains fiksyen seperti Journey To The Center Of The Earth dan The Time Machine.

Kami turut menjengah beberapa kedai menjual cenderahati yang banyak terdapat di sekitar Disneyland. Rantai kunci, kemeja-t dan anak patung merupakan di antara seribu satu barangan yang dijual. Saya membeli anak patung Baby Mickey dan baju panas Mickey Mouse. Saya juga membeli beberapa rantai kunci yang bermotifkan watak kartun popular Walt Disney seperti Donald, Pluto dan Goofy.

Kami berasa keletihan yang amat sangat setelah berada sekian lama di Tokyo Disneyland. Masa dirasakan berjalan begitu pantas dan tanpa kami sedari, kami telah berada di situ dari siang hinggalah ke malam. Kami kemudiannya meninggalkan perkarangan taman tema terulung yang keluasannya melebihi 100 ekar itu pada kira-kira pukul 8.30 malam.

Kami mungkin tidak mampu meneroka segenap penjuru kawasannya yang luas itu oleh batas masa, namun kami tetap gembira dan berpuas hati. Kami kemudiannya menaiki tren ke tempat penginapan di New Otani Inn di Sinagawa-ku. Kami pulang dengan keletihan tetapi apa yang pasti adalah ilusi kini menjadi realiti. Selamat tinggal Tokyo Disneyland, tempat di mana semuanya berkemungkinan untuk terjadi.