Taman Negara Bako ~ LIBUR Ogos 2008

“Kecil kecil si cili padi” mungkin itulah ungkapan yang paling sesuai untuk menggambarkan keunikan Taman Negara Bako. Taman Negara tersebut merupakan antara yang terkecil di Sarawak, negeri paling besar di Malaysia. Namun, kawasan yang berkeluasan kira-kira 27.27 kilometer persegi itu merupakan taman negara tertua di Sarawak. Apa yang mengagumkan adalah kawasan yang diwartakan pada 1957 itu menampung hampir keseluruhan jumlah spesis flora di Kepulauan Borneo, pulau yang merangkumi Sarawak dan Sabah, Malaysia serta wilayah Kalimantan, Indonesia.

Pelancongan penuh pengembaraan kami di Bumi Kenyalang iaitu Sarawak di puncak Gunung Santubong di semenanjung Damai kini berlanjutan hinggalah ke Taman Negara Bako. Kami meninggalkan Bandaraya Kuching Utara pada pukul 8.00 pagi selepas menikmati sarapan roti telor bawang dengan teh tarik Mamak, pilihan kami sejak dulu lagi. Perjalanan sejauh 37 kilometer dengan bas berhenti-berhenti itu berlanjutan sehingga 40 minit ke pejabat Taman Negara Bako di Kampung Bako.

Isteri saya kemudiannya menguruskan pendaftaran manakala saya, dengan kamera di tangan, meninjau-ninjau kawasan pejabat yang dibina berhampiran jeti. Agak ramai juga pelancong yang kebanyakannya warga Eropah mundar-mandir berhampiran. Bot pula berulang-alik membawa dan menurunkan penumpang di jeti. Pandangan saya turut tertumpu pada sekeping papan tanda yang memberi amaran tentang buaya di sungai itu. Mungkinkah ada reptilia seumpamanya di perairan ini, fikir saya.

Agar lama juga saya dan isteri menunggu untuk mendapatkan bot ke Taman Negara Bako. Kami kemudiannya berkongsi kenderaan air tersebut bersama empat penumpang lain, dua lelaki manakala yang bakinya wanita. Bot yang kami naiki membelah gelora air sungai yang agak keruh itu. Saya berasa agak gusar kerana langit berwarna kelabu, tanda-tanda yang hujan akan turun bila-bila masa sahaja. Telahan saya memang benar belaka kerana tak sampai beberapa minit kami bertolak, gerimis mula turun. Nasib baik keadaan itu tidak berlanjutan dan dapatlah kami bergerak dengan tenang.

Saya memandang ke arah tebing sungai yang didominasi pokok bakau yang terkenal dengan akarnya yang berceracak. Akar pepohon yang terdiri daripada pelbagai spesis itu benar-benar kelihatan kerana ketika itu air surut. Saya juga terkejut kerana seekor buaya air masin, Crocodylus porosus, turut kelihatan dengan mulutnya yang ternganga luas di atas tebing sungai. Saya memandang ke arah haiwan itu sambil teringatkan papan tanda yang saya temui terpasang di jeti yang baru sahaja kami tinggalkan.

Cuaca masih mendung walaupun hujan telah lama reda. Saya, seperti mana penumpang lain yang memakai jaket keselamatan, berasa gusar melihatkan keadaan laut yang agak bergelora tatkala bot kecil yang kami naiki membelah samudera. Namun, pemandangan indah cenuram yang menghijau dengan tumbuhan yang membentuk sebahagian daratan Taman Negara Bako sememangnya mencuri perhatian. Kami kemudian turun dari bot dan meranduk air laut separas lutut untuk ke pantai. Perjalanan dengan bot yang dirasakan begitu panjang itu hanya memakan masa kira-kira 20 minit sahaja.

Saya dan isteri kemudiannya menyertai puluhan pengunjung ke ibupejabat Taman Negara Bako di Telok Assam untuk pendaftaran dan mendapatkan maklumat perjalanan. Kami dibekalkan dengan sekeping kertas yang tertera dengan peta 17 laluan yang diwartakan untuk diterokai oleh pengunjung-pengunjung. Untuk memudahkan pengunjung juga, laluan ditanda dengan warna-warna putih, kuning, merah dan biru.

Trek terpanjang di Taman Negara Bako adalah sejauh 10.5 kilometer ke Tanjung Kruin manakala yang paling pendek adalah ke Tanjung Sapi yang hanya berjarak 800 meter. Menurut petugas di kaunter ibupejabat Taman Negara Bako di Telok Assam, tempat ini harus dikunjungi untuk melihat monyet Belanda. Walaupun begitu, saya dan isteri akhirnnya membuat keputusan untuk berkunjung ke Telok Pandan Kecil yang berjarak 2.5 kilometer. Laluan tersebut ditanda dengan cat kuning.

Kami menyusuri pantai dengan pasirnya yang memutih dengan beberapa buah calet kayu dibina berhampiran. Kami kemudiannya berjalan di atas pelantar kayu yang didirikan di kawasan hutan bakau. Selepas itu, trek mula melewati kawasan hutan yang mukabuminya agak mencanak yang turut dipenuhi dengan akar-akar pokok, batu-batu dan pasir. Kehijauan hutan tersebut begitu menenangkan dengan deruan air terjun yang membentuk anak-anak sungai yang mengalir sepelusid kristal, sedingin salju dan sesegar embun pagi.

Papan-papan tanda turut terpasang pada pangkal pokok bagi rujukan pengunjung. Kami terjumpa banyak pepohon kayu di sepanjang laluan seperti kandis (Garcinia lanceola), inggi burung (Ixonanthes beccarii), resak (Cotylebium flavium) dan rengas paya (Mellanorrhoea beccarii). Kami turut terjumpa dengan sarang kelulut yang terbentuk seperti tanduk kerbau yang dibina pada pangkal sebatang pokok kayu.

Kelulut atau nama saintifiknya Trigona sp. merupakan sejenis lebah kecil yang tidak menyengat (stingless bee dalam Bahasa Inggeris). Serangga Hymenoptera dari famili Apidae ini agak unik kerana unit-unit sel dalam sarangnya tidak berbentuk segi enam (hexagon) sebagaimana lebah-lebah lain, contohnya lebah tualang (Apis dorsata). Madunya pula agak masam dan di kalangan pakar-pakar, kelulut dihargai bukan kerana madunya tetapi propolisnya. Propolis terbentuk seperti lilin dan berwarna kehitaman serta mempunyai sifat antibakteria yang tinggi. Sesetengah produk, contohnya ubat gigi, dicampur dengan bahan ini untuk mempertingkatkan keberkesanannya.

Kami kemudiannya terjumpa dengan papan tanda yang memberitahu tentang projek pemuliharan salah satu flora yang bernilai tinggi iaitu sejenis orkid selipar, iaitu Paphiopedilum bullenianum var. Linii. Projek yang dimulakan pada 2006 itu adalah usahasama di antara AFSID dengan PABC. Tidak jauh dari tempat kami berdiri itu atau kira-kira 500 meter dari Telok Assam, kami tiba di satu kawasan yang agak lapang, berhamparkan batu yang terhakis dan disuburi tumbuhan rendang.

Kawasan itu agak panas dengan mentari memancar terik. Turut kelihatan adalah flora parasitic periok kera dan terdapat 26 spesis seumpamanya di serata Sarawak. Di Taman Negara Bako sendiri terdapat enam spesis yang telah dikenalpasti dan antaranya Nepenthes rafflesiana serta Nepenthes ampullaria. Di samping itu, pepohon cucur atap atau Baeckea frustensens yang biasa saya temui di beberapa kawasan pergunungan, turut melatari indah taman negara ini.

Kami kemudiannya menempuhi kawasan yang terbina pelantar kayu dan kemudiannya menuruni anak-anak tangga ke denai hutan yang bernaungkan pepohon tinggi. Mata saya kerap mengimbas persekitaran dengan pangkal pokok yang bercat kuning bagi memastikan kami mengikuti arah yang betul. Pondok istirehat turut dibina di tempat-tempat strategik untuk kemudahan pengunjung.

Trek itu kemudiannya membawa kami ke satu persimpangan dengan papan tanda kayu penunjuk arah tegak berdiri. Papan itu menunjukkan arah Air Terjun Tajor yang mengambil masa kira-kira sejam perjalanan dari tempat kami berdiri. Di samping itu, arah ke Telok Pandan Besar dan Telok Pandan Kecil turut dinyatakan. Kami seterusnya membelok ke arah destinasi asal kami iaitu ke Telok Pandan Kecil.

Sekali lagi kami menempuhi laluan yang hampir-hampir lengkap dengan pelantar kayu. Di bawahnya mengalir air jernih dari hujan yang turun sebelum ini dan kawasan ini juga agak panas tanpa naungan pepohon tinggi. Namun, kehijauan daripada tumbuhan bersaiz kecil yang mendominasi tetap menarik perhatian dengan jumlah spesisnya yang tak seberapa. Manakala itu, deruan ombak yang menghempas pantai makin jelas kedengaran. Setelah berjalan melebihi dua jam dari Telok Assam, kami tiba di Telok Pandan Kecil.

Pemandangan dari tempat kami berdiri di atas cenuram yang tinggi memang menakjubkan. Tiada lagi langit kelabu menyelimuti alam. Sebagai ganti, langit cerah membiru dengan awan berkepul-kepul putih kelabu mencantikkan pemandangan. Kami kini menghadap laut Cina Selatan dengan pantai indah sayup-sayup kelihatan. Agak gementar juga berdiri di pinggir tebing yang tinggi dengan bayu laut menghembus perlahan memberikan ketenangan kepada semua insan.

Hamparan batu tempat kami berdiri itu telah lama terhakis dengan teksturnya yang menggerutu dan agak berlubang-lubang. Karakter fizikalnya unik lagi mengagumkan sebagai hasil seni alam yang mengasyikkan ciptaan Tuhan. Burung-burung pula terbang riang menyemarakkan lagi pemandangan serba indah yang menyejukkan mata yang memandang. Berdasarkan pemerhatian, terdapat kira-kira 150 spesis burung telah direkodkan di taman negara yang berkeluasan 27.27 kilometer persegi ini.

Kami kemudiannya beransur-ansur meninggalkan Telok Pandan Kecil untuk menempuhi kembali laluan yang membawa kami ke sebelah sini. Di pertengahan jalan, kami bertemu dengan agak ramai pengunjung yang sesetengahnya berpakaian seragam. Mereka merupakan calon-calon yang sedang menduduki peperiksaan praktikal untuk pemandu pelancong dan jurupandu alam. Kami sempat berbual-bual seketika dengan mereka sebelum meneruskan perjalanan.

Perjalanan kami akhirnya terhenti di bawah naungan pondok istirehat yang dibina di atas pelantar kayu. Struktur tersebut dibina di celah-celah pepohon bakau yang berkanopi jarang-jarang. Kepentingan bakau kepada persekitaran amat disedari terutamanya ketika bencana tsunami melanda beberapa kawasan Selatan dan Tenggara Asia di penghujung 2004. Pakar-pakar berpendapat malapetaka yang mengorbankan begitu banyak nyawa dan harta benda itu dapat dikurangkan sekiranya hutan bakau yang sebelum ini membenteng kawasan pantai masih ada. Malaysia sendiri tidak terkecuali daripada kehilangan khazanah alam yang bernilai ini. Adalah dipercayai kira-kira 50 peratus daripada keluasan hutan bakau Negara telah lenyap terutamanya untuk industri akuakultur.

Saya dan isteri sempat berbual dengan seorang lelaki yang sedang duduk bersama kami. Beliau yang rambut panjangnya disikat dan diikat kemas merupakan salah seorang penyelia yang bertanggungjawab dengan peperiksaan praktikal yang sedang berjalan di laluan yang baru sahaja kami lepasi. Perbualan kami terhenti apabila beliau berlari-lari anak sambil menudingkan jari ke arah sesuatu. Rupa-rupanya dua ekor monyet belanda atau proboscis monkey, sedang memanjat pokok bakau berhampiran tempat kami duduk bersantai.

Monyet belanda, bangkatan atau monyet hidung panjang dengan nama saintifiknya Nasalis larvatus dari famili Cercopithecidae merupakan haiwan yang endemik kepada Kepulauan Borneo. Haiwan unik ini disenaraikan di bawah Apendiks 1 CITES (Convention on International Trade on Endangered Species). Survei 2006 menunjukkan hanya 1,000 haiwan ini hidup secara liar dalam habitat tanah rendah hutan bakau, paya dan hutan riparia.

Monyet belanda biasanya hidup dalam kumpulan kecil yang berjumlah antara 10 hingga 32 anggota. Hanya yang jantan mempunyai hidung unik yang sesetengahnya mencecah hampir 18 sentimeter panjang. Fauna ini makan daun pedada (Sonneratia spp.), salah satu spesis pokok bakau yang biasa ditemui. Saya dan isteri begitu teruja menonton gelagat monyet yang dikatakan mampu berenang dengan baik. Inilah pengalaman pertama menyaksikan sejenis mamalia yang hanya ditemui di Kepulauan Borneo.

Di samping monyet belanda, haiwan lain yang dapat ditemui di taman ini termasuklah biawak, memerang dan tupai. Manakala itu, Taman Negara Bako mempunyai tujuh ekosistem lengkap iaitu tumbuhan pantai, tumbuhan cenuram, hutan kerangas, hutan bakau, hutan dipterokap campuran, padang rumput dan hutan paya gambut. Kepelbagaian biologi sepertinya membuktikan bahawa kawasan semulajadi ini harus terpelihara dan terpulihara untuk generasi yang akan datang.

Kami seterusnya meninggalkan Taman Negara Bako dengan bot pada pukul tepat 2.00 petang tatkala air laut mula pasang dan perlahan-lahan menenggelamkan akar-akar pokok bakau yang sebelum ini terdedah. Saya berasa agak terkilan kerana kami dapat meneroka hanya sebahagian kecil khazanah alamnya yang begitu mengasyikkan. Saya dan isteri berhasrat untuk datang lagi dengan harapan meneruskan pengembaraan melalui denai-denainya yang kaya dengan pemandangan yang mengujakan.

Gunung Santubong di semenanjung Damai dan Taman Negara Bako di semenanjung Muara Tebas, kehebatannya sukar digambar dengan kata-kata. Keindahannya tidak akan terpadam dari ingatan. Keesokan harinya, kami pulang ke Semenanjung berbekalkan pengalaman baru, pengalaman penuh pengembaraan di Bumi Kenyalang yang terletak jauh di seberang lautan.

Endau Rompin ~ KOSMO 09 Jan 2007

Ekspedisi saintifik dan mendokumentasi kawasan hutan hujan tropika tanah rendah Endau-Rompin dijalankan seawal 1832 oleh H. W. Lake dan Lieutenant H. J. Klesall. Ekspedisi saintifik berikutnya, pada 1985 dan 1986, menemukan penyelidik dengan 25 spesis flora baru kepada dunia sains botani. Taman Negara Endau-Rompin, dengan keluasan 800 kilometer persegi di sebelah Johor tidak pernah jemu-jemu menggamit pengunjung dari jauh maupun dekat.

Berikut adalah catatan pengembaraan kami selama 3 hari 2 malam di kawasan yang terkenal dengan khazanah kepelbagaian biologinya. Khazanah yang tidak ternilai yang perlu terpelihara untuk generasi akan datang.

Perjalanan kami bermula dari jeti Kampong Peta pada pukul 12.30 tengahari. Kami menaiki bot panjang menyusuri Sungai Jasin, antara sungai utama di sebelah Taman Negara Endau-Rompin. Perjalanan menyusuri sungai itu berakhir di Lubuk Pacau di mana kami menggalas pek dan berjalan kaki menyusuri tebing sungai dan denai hutan.

Perjalanan menyusuri denai hutan, meranduk sejuk air sungai dan meniti titi kayu serta jambatan gantung selama hampir sejam itu membawa kami ke destinasi berikutnya, iaitu Kuala Marong. Hampir kesemua jambatan gantung musnah semasa banjir besar melanda negeri Johor hujung tahun 2006. Siapa sangka kuasa air mampu merobah segalanya. Kuasa air jugalah, seperti tsunami, yang menjadikan pulau Aceh di Indonesia ibarat padang jarak padang terkukur pada penghujung 2004.

Kuala Marong diwartakan sebagai kawasan konservasi spesis ikan air tawar yang diancam kepupusan. Enam spesis ikan telah dikenalpasti untuk program yang bermula sejak 2003. Ikan tersebut adalah sia (Mystacoleucus marginatus), kawan (Labiobarbus festiva), sebarau (Hampala macrolepidota), nyenyuar (Luciosoma setigerum), tengas (Acrossocheilus deauratus) dan akhir sekali kelah. Program yang dijalankan secara usaha sama oleh Perbadanan Taman Negara Johor dan Persatuan Pencinta Alam (MNS) cawangan Johor harus diberi pujian bagi menjamin kesinambungan spesis yang terancam pupus.

Kelah, spesis yang menjadi kegilaan para pemancing, mudah dilihat berenang-renang berhampiran tempat kami berihat. Ikan betina dewasa hanya mencapai kematangan seksual setelah mencecah usia 8 hingga 10 tahun dengan berat badan empat kilogram. Manakala kelah yang jarang-jarang dijumpai dan endemik kepada Endau Rompin adalah kelah biru (Tor labiobarbus atau douronensis).

Hati begitu begitu terpesona tatkala terlihat sekumpulan ikan kelah merah berenang-renang di dalam aliran sungai yang cetek lagi jernih. Tidak pernah kami saksikan begitu banyak ikan kelah merah yang kelihatan begitu cantik dan berkilau-kilau meriah. Kami terlopong menikmati satu fenomena alam yang tidak mungkin dapat disaksikan di tempat lain.

Kami berhenti hanya untuk seketika sebelum meneruskan perjalanan ke Batu Hampar. Perjalanan melalui denai berhampiran tebing sungai itu mengambil masa kira-kira sejam. Tapak perkhemahan di situ terletak berhampiran dengan jeram yang mengalir deras dan dalam. Kami berhenti bermalam sementara menunggu hari esok untuk meneruskan pengembaraan pada hari kedua.

Hari Kedua: Kami mula mengatur langkah mendaki bukit yang agak curam selepas bersarapan pagi. Trek agak licin dek hujan yang turun semalam. Kami berjalan perlahan-lahan sambil mata memerhatikan keadaan sekeliling. Telinga pula cuba-cuba menangkap bunyi yang sinonim dengan hutan hujan tropika seperti riang-riang, unggas dan siamang. Saya teruja tatkala terlihat satu spesis periok kera yang sebelum ini hanya saya temui di sebelah kawasan Air Terjun Chemerong, Terengganu. Flora berwarna hijau dengan tompok-tompok warna coklat atau kemerahan itu adalah Nepenthes ampullaria.

Kami turun naik trek yang tidak terlalu sukar untuk ditempuhi. Kami juga menyeberangi anak-anak sungai yang mengalir jernih dan seterusnya tiba berhampiran dengan Takah Kunyit, iaitu sebuah air terjun kecil. Telah sejam setengah kami meninggalkan tapak perkhemahan di Batu Hampar. Kami berhenti sambil duduk-duduk dan makan minum. Selepas penat mula mengurang, kami sama-sama menyambung perjalanan.

Kami kemudiannya menempuh kawasan berbukit yang ditumbuhi pelbagai spesis flora termasuk palma. Palma yang benar-benar menarik perhatian saya adalah Livistonia endauensis yang dikatakan endemik kepada hutan di sebelah sini. Dengan ketinggiannya mencecah pohon kelapa West African Tall dan daun berbentuk kipas, ia melandskap indah hutan Taman Negara Endau-Rompin yang mencecah 248 juta tahun. Spesis palma lain yang turut kami jumpai adalah palma payung, Johannesteysmannia altifrons.

Kecuraman kawasan rimba yang kami tempuhi meningkat perlahan-lahan. Kaki yang tadinya melangkah gagah kini beransur lemah. Kira-kira tiga jam selepas meninggalkan Batu Hampar, kami tiba di Air Terjun Buaya Sangkut. Kami tersua dengan sepasang pelancong asing yang ditemani dua petunjuk jalan Orang Asli sedang duduk berihat. Kami difahamkan kemudiannya bahawa mereka datang dari Belanda. Berbaloi rasanya memecah keringat menongkah bukit dan menuruni cerun untuk ke sini dan menikmati pemandangan indah. Pemandangan indah yang gemilang dengan langit biru dengan cuaca cerah.

Kami duduk berihat sambil menikmati keindahan yang terpampang di hadapan mata. Air kopi panas jadi minuman manakala sanwic tuna dan nasi goreng jadi makanan. Lega rasanya dapat duduk-duduk sambil melunjurkan kaki yang kelenguhan dan meregangkan tubuh yang kelesuan. Lebih sejam kemudian, kami beransur-ansur meninggalkan kawasan tersebut dan bergerak turun ke trek curam ke bahagian bawah Air Terjun Buaya Sangkut pula.

Air yang mengalir dari tebing berbatu berketinggian puluhan meter itu memang mempesonakan. Terjunannya memang hebat dan mengujakan. Namun, karakter geologinya dengan jeram mengalir deras dan dalam berserta bongkah-bongkah batu berlumut licin menghalang kami mendekati kawasan tersebut bagi mendapatkan sudut fotografi yang lebih baik. Kami sekadar dapat menikmati keindahannya dari satu lokasi yang tidak membahayakan. Kami kemudiannya meninggalkan kawasan tersebut selepas bergambar kenangan.

Kami tiba di Batu Hampar pada pukul 5.00 petang. Kami kemudiannya bergerak meninggalkan tapak perkhemahan itu selepas mengemaskan peralatan dan membersihkan kawasan. Kami mengambil masa kira-kira 45 minit berjalan kaki ke destinasi berikutnya, iaitu Kuala Marong. Setibanya kami di situ kami lantas meninggalkan pek besar dan bergerak ke arah Tasik Air Biru yang terletak berhampiran.

Kami kemudiannya mandi dan berenang di Tasik Air Biru yang terletak tidak sampai 15 minit dari Kuala Marong. Ketenangan airnya yang kebiruan, sesuai dengan namanya, sememangnya menenangkan mata yang melihat dan menyegarkan badan yang dibasahi kedinginannya. Menjelang senja barulah kami berpatah balik ke tempat penginapan di Kuala Marong.

Hari Ketiga: Nasi lemak bersama minuman teh o dan air mata kucing panas menjadi juadah kami di pagi yang agak kedam macam hari nak hujan. Saya, bersama dengan A.D., Wahi dan Irni dengan diiringi petunjuk jalan, Ghani mengatur langkah menuju ke satu lagi mercu tanda Taman Negara Endau-Rompin, iaitu Air Terjun Upeh Guling.

Perjalanan tersebut sesingkat 15 minit. Kami terasa begitu teruja apabila air terjun indah itu tersergam di depan mata. Megun kami memandangkan ke arah terjunannya yang bertingkat-tingkat dengan bongkah batu yang terukir cantik dari hakisan air yang berpanjangan. Hakisan air yang berlanjutan hingga jutaan tahun. Suasana alam tambah meriah dengan langit biru dan mentari mencelah cerah. Kami duduk bermandikan keringat sebelum merakamkan imej indahnya yang tidak jemu-jemu mata melihat.

Kami kemudiannya meninggalkan Upeh Guling dan berjalan pulang ke Kuala Marong. Setibanya kami di sana, selepas menjamah makanan dan meneguk minuman, kami mengemaskan peralatan. Kami kemudiannya berjalan selama 45 minit sebelum tiba di Kuala Jasin untuk sesi berakit meyusuri sungai dengan rakit getah.

Taklimat ringkas diberi sebelum air Sungai Jasin diredahi. Kami diberikan penerangan tentang penggunaan peralatan dan aspek keselamatan. Keselamatan dijaga dan bahaya dielak sentiasa. Kecemerlangan dicipta dan keseronokan dirasa. Kami kemudiannya berganding bahu mengusung rakit ke gigi air sebelum berlayar mengikut alunan sungai yang sederhana derasnya.

Aliran sungai seolah-olah terhenti di beberapa lokasi. Kami juga terpaksa bekerja keras mendayung dan mengemudi rakit yang tidak mahu bergerak. Kami juga terpaksa turun menolak rakit yang tersangkut pada dasar sungai yang berlapikkan batu dan pasir. Kesan-kesan tapak kaki mamalia terbesar negara, iaitu gajah juga jelas kelihatan. Sungguh hebat kerana mereka mampu menuruni tebing sungai yang sangat curam dan licin.

Cuaca yang paginya cerah meriah kini berubah mendung macam hari nak hujan. Rintik-rintik halus hujan turun kemudiannya tetapi hanya untuk seketika. Mentari kemudiannya mencelah cerah semula dan membakar perit kulit yang terdedah. Kami terus mengayuh melalui aliran sungai yang bergerak perlahan. Kira-kira pada pukul 3.15 petang, kami tiba di jeti Kampong Peta di mana pengembaraan ini tiba di penghujungnya.

Kami kemudiannya meninggalkan keheningan Taman Negara Endau-Rompin berbekalkan kenangan manis yang tidak mungkin luput dari ingatan. Jutaan terima kasih kepada Encik Abdul Aziz Mohd Top, Pegawai Pemulihara Hutan dan Encik Ghani, penunjuk jalan yang mengiringi kami di sepanjang pengembaraan ini.